Jumaat, 22 Mei 2020 | 11:02pm
Datuk Khairul Dzaimee Daud. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Datuk Khairul Dzaimee Daud. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pegawai imigresen ibu pejabat, negeri ambil alih depot tahanan Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan menggerakkan pegawai-pegawai imigresen dari ibu pejabat dan negeri untuk mengambil alih kawalan serta pengurusan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, di sini, berikutan kemunculan kluster baharu wabak COVID-19 di kawasan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata pengurusan depot tahanan itu kini dibantu oleh pegawai imigresen Kuala Lumpur; dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan memberi bantuan kawalan.

Beliau berkata kesemua pegawai imigresen yang bertugas di depot tahanan berkenaan ketika ini dikenakan kuarantin selama 14 hari di rumah sementara menunggu keputusan saringan COVID-19.

"Setakat ini, keputusan saringan COVID-19 terhadap 98 pegawai bertugas di Bukit Jalil didapati negatif dan kesemua mereka akan terus dikuarantin selama 14 hari.

"Selain itu, kesemua tahanan pendatang tanpa izin di depot tahanan itu termasuk pegawai imigresen dan pembekal makanan juga akan menjalani saringan COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata bagi tahanan yang positif COVID-19 mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua tahanan dan petugas di depot tahanan imigresen Bukit Jalil, di sini dan Semenyih, Selangor akan menjalani ujian saringan COVID-19.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata ini akan membabitkan kira-kira 1,200 tahanan di Bukit Jalil dan 1,600 tahanan di Semenyih.

Setakat ini ujian saringan COVID-19 hanya akan dibuat di dua depoh ini, selepas tahanannya dikesan positif COVID-19.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan sebanyak 25 kes telah dikesan di depot tahanan imigresen Bukit Jalil.

Semalam, KKM mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan warga asing di depot tahanan imigresen berkenaan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X