X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:21am
Ilustrasi virus COVID-19
Ilustrasi virus COVID-19

COVID-19: Pesakit kes-111 Terengganu rentas negeri untuk jumpa doktor

KUALA TERENGGANU: "Saya ke Kuantan bukan melawat orang sakit, berbekalkan surat temujanji untuk mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital swasta di sana.

"Ketika di sana, saya diarah menjalani saringan sebelum dibenarkan berjumpa doktor. Dalam saringan itu, saya dikesan positif COVID-19," kata seorang pekerja cari gali minyak yang dikaitkan kes terbaharu pandemik itu di Terengganu.

Mangsa, 36, yang menjadi kes ke-111 COVID-19 di Terengganu, berkata beliau ke sebuah hospital swasta di Kuantan untuk rawatan penyakit darah tinggi dan masalah dalam kepala berbekalkan surat temujanji doktor.

"Saya ke sana pada Selasa lalu (19 Mei) untuk mengambil ubat darah tinggi dan membuat rawatan susulan masalah dalam kepala.

"Disebabkan penularan wabak COVID-19, saya diarah menjalani ujian saringan sebelum mendapatkan rawatan susulan. Hasil ujian itu saya didapati positif wabak berkenaan," katanya yang tinggal bersama ibu bapa di Kampung Kemasik, Kemaman.

Lelaki itu berkata, susulan keputusan saringan terbabit, dia dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan sekali lagi menjalani saringan COVID-19 pada hari sama.

Bagaimanapun katanya, saringan di HTAA mendapati keputusan sebaliknya apabila ujian itu menunjukkan dia negatif wabak berkenaan dan kini menunggu hasil saringan kedua yang dilakukan pihak hospital, kelmarin.

"Sekiranya hasil ujian negatif, kemungkinan besar saya akan dibenarkan pulang hari ini," katanya yang sudah 15 tahun bekerja di syarikat cari gali minyak di Kemaman Supply Base (KSB), Kemaman.

Dia mengakui terkejut apabila hospital swasta memaklumkan beliau positif COVID-19 kerana mendakwa setiap hari banyak menghabiskan masa di rumah dan tempat kerja sahaja, kecuali sesekali ke pasar raya di bandar Chukai.

"Sejak penularan wabak COVID-19, saya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak ketika berada di luar rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa berkata, berikutan itu juga, ibu bapa serta saudara-mara dan semua pekerja di syarikat tempat beliau bekerja yang mempunyai kontak rapat dengannya, diarah menjalani ujian saringan COVID-19.

Justeru itu katanya, dia kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kenyataan yang secara tidak langsung menggambarkan beliau sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu dengan melakukan rentas negeri untuk melawat orang sakit sekali gus menerima kecaman daripada netizen.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X