Sabtu, 23 Mei 2020 | 3:11pm
Main bunga api boleh tetapi jika melibatkan kelompok besar ia salah dari segi prosedur operasi standard. Gambar hiasan
Main bunga api boleh tetapi jika melibatkan kelompok besar ia salah dari segi prosedur operasi standard. Gambar hiasan

Aktiviti bermain bunga api kelompok ramai tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR: Aktiviti bermain bunga api ketika sambutan perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan jika ia membabitkan kelompok yang ramai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun ia adalah sebahagian daripada aktiviti riadah tetapi menyalahi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya ramai yang terbabit.

"Saya berharap ramai yang mematuhi SOP yang sudah ditetapkan, nak main bunga api boleh tetapi jika melibatkan kelompok besar ia salah dari segi SOP," katanya pada sidang akhbar harian, sebentar tadi.

Beliau turut berharap, tidak akan ada kes membabitkan tangkapan, dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah ketika sambutan hari raya berlangsung.

"Ramai perlu mematuhi arahan dan SOP yang sudah ditetapkan dan polis juga akan tetap menjalankan rondaan untuk memastikan tiada yang melakukan kesalahan," katanya.

Menjawab pertanyaan wartawan, Ismail Sabri turut menjelaskan aktiviti membawa kanak-kanak ke taman permainan perlu dipantau dengan ketat khususnya berkaitan penjarakan.

"Kita benarkan aktiviti riadah tetapi sekiranya ibu bapa membawa ramai kanak-kanak di kawasan itu, adakah penjarakan dipatuhi... lebih-lebih lagi kita tidak ketahui status (kesihatan) setiap daripada mereka yang ada," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X