Sabtu, 23 Mei 2020 | 3:16pm

Selangor, Kedah, PP paling banyak rentas negeri

KUALA LUMPUR: Selangor, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan kes cubaan merentas negeri paling tinggi, semalam.

Menurut statistik, sebanyak 329 kenderaan dari Selangor, 329 (Kedah) dan 211 (Pulau Pinang) dikesan melakukan percubaan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 1,613 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan sudah diarahkan untuk pulang semula.

"Semalam, sebanyak 157 sekatan rentas sempadan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebanyak 216,594 kenderaan diperiksa.

"Jumlah ditahan menurun berbanding kelmarin (2,539) tetapi masih ada yang cuba merentas negeri," katanya dalam sidang akhbar harian, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai untuk tidak beriadah dengan bermain bunga api dalam kelompok yang ramai.

Katanya, aktiviti riadah dibenarkan tetapi menyalahi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya ramai yang terbabit.

"Saya berharap ramai yang mematuhi SOP yang sudah ditetapkan, nak main bunga api boleh tetapi jika membabitkan kelompok besar ia salah dari segi SOP," katanya.

Beliau turut berharap, tidak akan ada kes membabitkan tangkapan, dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah ketika sambutan hari raya berlangsung.

"Ramai perlu mematuhi arahan dan SOP yang sudah ditetapkan dan polis juga akan tetap menjalankan rondaan untuk memastikan tiada yang melakukan kesalahan," katanya.

Menjawab pertanyaan wartawan, Ismail Sabri turut menjelaskan aktiviti membawa kanak-kanak ke taman permainan perlu dipantau dengan ketat khususnya berkaitan penjarakan.

"Kita benarkan aktiviti riadah tetapi sekiranya ibu bapa membawa ramai kanak-kanak di kawasan itu, adakah penjarakan dipatuhi... lebih-lebih lagi kita tidak ketahui status (kesihatan) setiap daripada mereka yang ada," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri.
Berita Harian X