Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:09pm

COVID-19: Kadar pulih melebihi kes baharu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 daripada 48 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan di seluruh negara hari ini adalah penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata 25 daripada 44 kes penularan tempatan pula terdiri daripada bukan warganegara Malaysia, termasuk 21 kes yang dikesan di depoh tahanan imigresen (DTI) di Semenyih.

"Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,185 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,158 kes.

"Jumlah yang pulih daripada jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang pula adalah 53 kes, iaitu lebih berbanding kes baharu.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar dari wad adalah sebanyak 5,912 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Mengemukakan perincian mengenai status terkini COVID-19, Dr Noor Hisham berkata sembilan kes positif wabak itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Berdasarkan laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), beliau berkata tiada kes kematian baharu berkaitan COVID-19 direkodkan setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban kekal sebanyak 115 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X