Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:15pm

Tangguh ziarah, usah ke kubur

KUALA LUMPUR: Masyarakat dinasihatkan untuk menangguhkan aktiviti ziarah membabitkan keluarga lain dan rakan, selain mengelak kunjungan ke kubur ketika Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata saranan itu termasuk larangan merentas negeri yang mungkin mengakibatkan penularan ke kawasan lain, terutama zon hijau.

"Kita perlu mengambil iktibar daripada kluster Pengerang, di mana penyebaran COVID-19 berlaku akibat aktiviti merentas negeri dan sub-kluster Rembau apabila penyebaran jangkitan COVID-19 didapati turut berlaku akibat aktiviti kunjung mengunjung sanak saudara," katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Menjelang Aidilfitri, Dr Noor Hisham berkata, masyarakat dinasihatkan untuk terus mengamalkan kelaziman baharu bagi menjamin usaha membendung penularan jangkitan COVID-19.

Sehubungan itu katanya, masyarakat wajar mempunyai sikap dan rasa tanggungjawab semasa meraikan perayaan berkenaan.

"Ini termasuk mengelakkan 3S, iaitu elak daripada berada di kawasan yang sesak, sempit dan bersembang atau bertutur dalam jarak dekat.

"Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, digalakkan pakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan sentiasa peka dengan amaran kementerian yang berkonsepkan peringatan.

"Peringatan ini antara lain merangkumi elak bersalaman, amalkan etika batuk dan bersih, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah dan elakkan aktiviti saling berkunjung.

"Jadikanlah perayaan yang bakal tiba sebagai perayaan tertutup antara ahli keluarga di rumah saja, selain lakukan nyah cemar di kawasan yang kerap disentuh," katanya.

Masyarakat dinasihatkan untuk menangguhkan aktiviti ziarah membabitkan keluarga lain dan rakan, selain mengelak kunjungan ke kubur ketika Aidilfitri.NSTP/ASYRAF HAMZAH
Masyarakat dinasihatkan untuk menangguhkan aktiviti ziarah membabitkan keluarga lain dan rakan, selain mengelak kunjungan ke kubur ketika Aidilfitri.NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X