Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:32pm
KETUA Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. - Foto Asyraf Hamzah

COVID-19: JAN sahkan memo

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) mengesahkan memo yang tular di media sosial memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid disahkan positif COVID-19.

Dalam satu kenyataan, JAN memaklumkan memo itu dikeluarkan oleh Nik Azman untuk edaran dalaman dan bukan untuk dikongsikan dengan pihak luar.

"Tujuan memo itu dikeluarkan adalah bagi memastikan urusan pentadbiran di JAN berjalan lancar sepanjang ketiadaan Ketua Audit Negara.

"Sebab utama COVID-19 dinyatakan dalam memo itu adalah supaya tindakan dan langkah sewajarnya diambil dengan segera bagi membendung COVID-19 daripada menjangkiti warga JAN yang lain," jelas kenyataan itu, hari ini.

Selain mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19, memo dikeluarkan oleh Nik Azman itu turut memaklumkan tugasnya akan dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), berkuat kuasa semalam.

Tugas pengauditan kewangan dan tadbir urus akan dikendalikan Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) dan Timbalan Ketua Audit Negara (Tadbir Urus), manakala tugas pengurusan pula dikendalikan Pengarah Sektor Pengurusan.

JAN memaklumkan, semua kontak rapat kepada Nik Azman sudah dimaklumkan semalam untuk tindakan lanjut.

"Bangunan di Blok F2 Kompleks F di Presint 1 yang terkesan telah melalui proses sanitasi dan nyah kuman semalam," katanya.

Memo itu tersebar selepas Pejabat Perdana Menteri semalam, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diarah menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya bermula petang semalam.

Tindakan itu diambil selepas seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri Rabu lalu, disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri sudah menjalani ujian saringan COVID-19 pagi kelmarin dan disahkan negatif dan perlu menjalani kuarantin selaras Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak COVID-19 (Seksyen 15(1) Akta 342).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X