Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:38pm
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

COVID-19: Perlu kajian untuk buktikan teori lelaki lebih senang dijangkiti

PUTRAJAYA: Kajian mengenai jangkitan COVID-19 mengambil kira pelbagai faktor termasuk sama ada wujud perbezaan ketahanan tubuh terhadap virus bagi jantina berbeza.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan virus berkenaan adalah baharu dan masih banyak yang perlu dipelajari mengenainya.

"Pemerhatian mendapati apabila virus itu menjangkiti tubuh, ia boleh menyebabkan radang pada paru-paru selain menyerang saluran darah, mengakibatkan pembekuan darah serta kerosakan kepada jantung dan buah pinggang.

"Kajian juga masih dijalankan untuk melihat sama ada respon tubuh terhadap jangkitan turut menyebabkan ketahanan terbantut antara 20 hingga 30 peratus," katanya.

Beliau mengulas teori seorang profesor di Universiti Oxford yang mendakwa imuniti perempuan terhadap virus lebih kuat sekali gus menjelaskan statistik setakat ini bahawa virus itu lebih cenderung memilih mangsa lelaki.

Dr Noor Hisham berkata, COVID-19 adalah virus baharu dan pihaknya masih belajar kerana banyak perkara yang belum diketahui.

"Kita berharap dengan banyak kajian kita dapat kenal pasti sama ada wujud perbezaan antara lelaki dan wanita... pastinya ada perbezaan antara yang muda dan tua serta mereka yang sihat atau yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

"Ini berkaitan dengan ketahanan tubuh masing-masing. Kita perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan sama ada ketahanan tubuh kita terbantut," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Satu laporan di London hari ini menjelaskan bahawa, kajian menunjukkan COVID-19 yang kini sudah menjangkiti lebih 5.3 juta penduduk dunia dan mengorbankan lebih 340,000 orang, dilihat lebih cenderung memilih mangsa lelaki.

Daripada jumlah itu, Amerika Syarikat (AS) merekodkan jumlah jangkitan tertinggi dengan hampir 1.6 juta kes dan ia diikuti lebih 300,000 kes di Russia dan Brazil.

Bagaimanapun, statistik menunjukkan virus itu mempunyai kesan berbeza terhadap pesakit lelaki dan wanita.

Di AS umpamanya, kadar kematian membabitkan pesakit lelaki adalah dua kali ganda berbanding wanita.

Sementara itu di Eropah, 69 peratus daripada semua kematian akibat virus itu juga membabitkan lelaki dan pola sama turut dilihat di China serta negara lain.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ada juga dakwaan yang menyatakan seolah-olah berlaku kurang daya tahan (immunodeficiency) selepas terkena jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, sepatutnya selepas terkena jangkitan tubuh pesakit mempunyai ketahanan untuk berdepan dengan jangkitan seterusnya.

Sebaliknya, apa yang berlaku didapati antibodi itu tidak mencukupi untuk daya ketahanan tubuh, yang tidak memungkinkan imuniti kelompok.

"Kajian masih dijalankan untuk menentukan jika ada vaksin dan ubat untuk merawat virus itu. Kita masih di peringkat awal dan harap lebih banyak negara menceburi kajian ini dan kita juga sedang menjalankan kajian bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggunakan rawatan terkini sama ada berkesan atau sebaliknya," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X