Sabtu, 23 Mei 2020 | 9:00pm

'Semua ini ada hikmahnya'

Kuala Lumpur: Ketiadaan solat terawih di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini memberi hikmah cukup berguna bagi setiap keluarga menunaikan solat berjemaah bersama.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata dengan amalan yang dilaksana oleh seisi keluarga itu, ramai golongan bapa yang kini sudah pandai menjadi imam.

"Semua ini ada hikmahnya. Setelah sebulan bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, ramai bapa yang dah pandai jadi imam. Anak lelaki jadi bilal. Isteri dan anak-anak yang lain jadi makmum.

"Saya pun jadi imam di rumah dan anak bongsu saya Farhan jadi bilal. Isteri, ahli keluarga yang lain dan pembantu rumah jadi makmum," katanya dalam perutusan khas Aidilfitri Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen, malam ini.

Dengan apa yang diamalkan sepanjang bulan Ramadan ini, beliau percaya hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga juga menjadi lebih rapat.

Di masjid dan surau pula, Muhyiddin berkata, hanya sebilangan daripada yang dibenarkan untuk mendirikan solat berjemaah termasuk solat hari raya Aidilfitri, esok.

Di Wilayah Persekutuan sebagai contoh, hanya 30 jemaah dibenarkan berada di masjid dan surau terpilih untuk melaksanakan solat berjemaah.

"Dengan kawalan pihak polis dan RELA, keadaan secara umumnya adalah terkawal. Alhamdulillah, SOP (prosedur operasi standard) PKPB juga dapat dipatuhi dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tak diingini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -foto BERNAMA
    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -foto BERNAMA
    Berita Harian X