Sabtu, 23 Mei 2020 | 9:07pm
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai alunan takbir pada sesi rakaman takbir hari raya bersama menteri-menteri kabinet di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai alunan takbir pada sesi rakaman takbir hari raya bersama menteri-menteri kabinet di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini

Patuhi SOP solat berjemaah - PM

KUALA LUMPUR: Mereka yang dibenar mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau termasuk solat sunat Aidilfitri pagi ini, diingatkan mematuhi garis panduan ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata imam perlu mengingatkan makmum mengenai peraturan solat yang dibenarkan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

"Ambillah wuduk di rumah, patuhilah prosedur pengambilan suhu badan dan bawa sejadah sendiri ke masjid. Ketika hendak mulakan solat biasanya imam akan kata rapat-rapatkan saf. Kali ini tidak, untuk menjaga penjarakan sosial, imam mesti ingatkan makmum supaya renggang-renggangkan saf. Ini lebih afdal.

"Selepas solat, tak perlu bersalaman dengan jemaah yang lain," katanya dalam perutusan khas Aidilfitri Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen, malam ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan untuk elak dari bersalaman, cukup sekadar tunduk sebagai tanda hormat dan senyum saja.

"Insya Allah, kita tetap akan dapat pahala berjemaah dan sekaligus membantu usaha mengawal jangkitan COVID-19," katanya.

Beliau percaya, kebijaksanaan dan dedikasi pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau akan dapat memberi peluang umat Islam beribadah, pada masa sama mematuhi garis panduan ditetapkan dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X