Ahad, 24 Mei 2020 | 4:48pm
Imam Besar Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu, Muhammad Syafiqsabri Mohamad (depan) mengetuai laungan takbir raya, malam tadi. - NSTP/BAHAROM BAKAR
Imam Besar Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu, Muhammad Syafiqsabri Mohamad (depan) mengetuai laungan takbir raya, malam tadi. - NSTP/BAHAROM BAKAR

COVID-19: Air mata seorang imam

KUALA BERANG: Seorang Imam tidak dapat menahan sebak dan beberapa kali menghentikan laungan takbir raya sambil mengesat air mata kerana diselubungi kesedihan.

Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Muhammad Syafiqsabri Mohamad, 36, sedih dan sayu apabila takbir raya tidak disahut ramai jemaah seperti mana sambutan tahun lalu.

Beliau mengakui sukar menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum berbanding kehadiran orang ramai ke masjid sebelum ini.

"Suasana takbir raya malam tadi mencatat sejarah buat saya kerana amat berbeza berikutan penularan COVID-19.

"Bayangkan, biasanya laungan takbir raya disambut oleh ratusan jemaah tapi kali ini amat berbeza.

"Oleh sebab terlalu sayu, beberapa kali saya menghentikan takbir untuk mengesat air mata," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, di sini, hari ini.

Muhammad Syafiqsabri berkata, hanya pegawai masjid bertugas dibenarkan menjalankan aktiviti termasuk menunaikan solat berjemaah dan sunat Aidilfitri.

Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Muhammad Syafiqsabri Mohamad. - NSTP/BAHAROM BAKAR
Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Muhammad Syafiqsabri Mohamad. - NSTP/BAHAROM BAKAR

"Tidak boleh nak cerita macam mana sebak perasaan saya ketika melaungkan takbir.

"Air mata saya mengalir kerana pertama kali dalam sejarah masjid kosong tanpa kehadiran makmum dan hanya beberapa orang bersama saya.

"Selepas sebulan berpuasa, takbir raya berkumandang tetapi kali ini tiada sahutan takbir beramai-ramai di masjid dan tiada saf berasak menunaikan solat sunat berjemaah pagi raya," katanya.

Hanya lima orang menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid terbabit, hari ini.

Tinjauan BH mendapati umat Islam di Terengganu menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah.

Keputusan masjid dan surau tidak dibenar mengadakan solat Aidilfitri diumumkan Jabatan Mufti Terengganu menerusi garis panduan sambutan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X