Ahad, 24 Mei 2020 | 7:21pm

PKPB: Anggota polis, tentera lalui pengalaman baharu

KUALA LUMPUR: Terpaksa meninggalkan keluarga untuk bertugas pada hari raya pertama adalah perkara biasa bagi anggota keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan kesejahteraan negara.

Bagaimanapun, norma baharu dilalui oleh anggota keselamatan yang perlu bertugas pada 1 Syawal di sekatan jalan raya (SJR) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi Koperal Muhammad Suffian Zulkifli daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, bertugas pada hari raya pertama bukan perkara baharu, namun mengakui tugasan di SJR untuk menguatkuasakan PKPB mempunyai cabaran tersendiri.

"Tidak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga sudah menjadi lumrah kerana boleh dikatakan setiap tahun saya perlu bertugas pada hari raya.

"Namun ia berbeza tahun ini apabila ditugaskan di SJR dan ini pengalaman pertama buat saya.

"Memang mencabar namun demi tugas menyekat penyebaran wabak COVID-19, kami cuba jalankan tugas sebaiknya," katanya kepada BH ketika ditemui di SJR Plaza Tol Jalan Duta di sini, hari ini.

Katanya, cabaran cuaca yang menyaksikan beliau dan rakan setugas berpanas serta berhujan adalah antara cabaran terbesar terpaksa dilalui sepanjang bertugas di SJR, terutama sepanjang Ramadan.

Pengalaman sama turut dilalui rakan setugas daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Koperal Iswandi Kenit, yang juga anggota Skuadron Istiadat Berkuda, Kem Sungai Buloh.

Iswandi mengakui tugasan di SJR pada hari raya pertama amat berbeza dengan tugas hakiki sebagai anggota tentera.

"Sedih jugalah kerana beraya di jalan raya, namun ini demi tugas untuk menyekat penularan COVID-19.

"Namun kesedihan ini terubat sedikit apabila sempat menyambut pagi raya bersama isteri dan anak walaupun kami tidak dapat bercuti dan pulang ke Sarawak untuk beraya dengan keluarga di kampung," katanya yang baharu tiga hari bertugas di SJR Plaza Tol Jalan Duta.

Beliau juga semakin membiasakan diri dengan tugas baharu menguatkuasakan PKPB.

Sebelum ini, Iswandi terbabit dengan tugasan di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru dan Plaza One City serta SJR di Wangsa Maju.

Sementara itu, Pegawai Turus Operasi Zon Tengah JSPT Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abdul Razali, memahami ini adalah pengalaman pertama bagi semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM yang perlu bertugas di SJR.

"Anggota JSPT sudah biasa tidak dapat menyambut raya bersama keluarga, namun tugas tahun ini memang berbeza.

"Mungkin ada yang sayu dan sedih terutama untuk anggota yang baharu memulakan tugas dalam PDRM serta SJR, justeru kami sediakan juadah hari raya seperti lemang, rendang dan kuih-muih," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Jalan Duta, Koperal Muhammad Suffian Zulkifli daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman. - NSTP/Ihsan PDRM
    Petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Jalan Duta, Koperal Muhammad Suffian Zulkifli daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman. - NSTP/Ihsan PDRM
    Berita Harian X