X
Isnin, 25 Mei 2020 | 1:42pm

COVID-19: Perangi tanpa pilih kasih

KUALA LUMPUR: Tanggapan negatif terhadap individu di depoh tahanan tidak harus dibiarkan berleluasa sehingga menyuntik dasar 'pilih kasih' dalam usaha menyelamatkan nyawa manusia.

Menegaskan prinsip itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata masyarakat sebaliknya wajar berganding bahu dengan kerajaan untuk memerangi penularan jangkitan COVID-19 secara bersama.

"Virus tidak mengenal sempadan atau menyebelahi mana-mana etnik dan kedudukan sosial," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat semalam melaporkan tiga kluster baharu dikesan membabitkan warga asing yang ditempatkan di tiga depoh tahanan imigresen (DTI) dekat Selangor, iaitu Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.

Meskipun saringan giat dijalankan, kementerian belum dapat mengenal pasti punca penularan jangkitan, sama ada membabitkan kakitangan di depoh terbabit atau ketika warga asing berkenaan berada di dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dr Noor Hisham berkata, pengesanan kes secara aktif menerusi saringan akan terus diperkasa, memandangkan penularan COVID-19 di depoh tahanan berkenaan semakin 'mengganas' ketika ini.

"Mana-mana individu yang didapati positif COVID-19 akan diasingkan dan diberikan rawatan secepat mungkin di kemudahan kesihatan.

"Individu yang dikesan mempunyai kontak rapat pula akan diarah untuk menjalani kuarantin (selama 14 hari), manakala operasi nyah cemar dijalankan di depoh berkaitan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X