X
Isnin, 25 Mei 2020 | 3:13pm

COVID-19: MAEPS jadi pusat rawatan khusus untuk PATI

KUALA LUMPUR: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), kini dikhususkan untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan positif wabak itu di depoh tahanan imigresen (DTI).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua rakyat Malaysia yang sebelum ini dirawat di pusat itu sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS itu sudah dipasang dengan kawat berduri dengan dikawal ketat anggota tentera dan polis.

Katanya, tindakan itu bertujuan memastikan tiada PATI yang dapat melarikan diri ketika dirawat di sana.

"Semua PATI dari DTI Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang yang didapati positif COVID-19 terus dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan di MAEPS, Serdang yang kini dijadikan pusat kuarantin khusus untuk PATI.

"Kita asingkan mereka daripada rakan mereka yang lain di depoh itu untuk pastikan penularan wabak ini tidak terus merebak sama ada dalam kalangan tahanan atau pegawai bertugas di DTI.

"Ketika ini, kita sedang laksanakan ujian saringan menyeluruh di ketiga-tiga DTI membabitkan semua tahanan dan pegawai bertugas, serta mereka yang ada kaitan dengan DTI itu seperti pembekal makanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKPB di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sebanyak 27 kes positif COVID-19 baharu dikesan di DTI Semenyih dan enam kes di DTI Sepang, manakala 35 kes di DTI Bukit Jalil dikesan Khamis lalu.

Ismail Sabri memaklumkan, seramai 4,342 individu kini ditahan di ketiga-tiga DTI, membabitkan 1,654 di Semenyih, 1,334 di Bukit Jalil dan 1,358 di Sepang.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan orang ramai supaya tidak bimbang jika berlaku peningkatan jangkitan dalam kalangan PATI di DTI kerana risiko penularannya dalam kalangan masyarakat awam adalah hampir tiada.

"Rakyat tak perlu bimbang kerana mereka sudah terkurung dalam kawasan DTI, dan peluang untuk ia merebak di luar kawasan itu adalah hampir tiada kerana semua pihak dalam DTI sudah menjalani ujian saringan.

"Kawat berduri juga dipasang mengelilingi MAEPS bagi mengelakkan PATI di sana lari, dengan anggota tentera, polis dan pegawai imigresen ditempatkan di MAEPS untuk mengawal mereka," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Berita Harian X