Isnin, 25 Mei 2020 | 4:10pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Wanita pulang dari Singapura positif COVID-19

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 56 tahun yang baru pulang dari Singapura disahkan positif COVID-19, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata wanita berkenaan didapati positif COVID-19 selepas menjalani saringan di Hospital Permai, di sini.

"Kes baharu yang dilaporkan semalam membabitkan seorang wanita berusia 56 tahun.

"Wanita warga Malaysia itu baru sahaja pulang dari Singapura selepas tinggal bersama anaknya di republik berkenaan.

"Kes baharu jangkitan COVID-19 itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Johor sebanyak 671 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, daripada 671 itu, 74 kes dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor sebagai masih lagi aktif.

"Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan semalam yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor akibat COVID-19 kekal seramai 19 orang," katanya.

Sementara itu beliau berkata, ketika pandemik COVID-19, kesejahteraan minda, emosi dan psikologi masyarakat perlu dikekalkan.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada secara langsung atau tidak menyebabkan kekangan dalam kehidupan yang mungkin akan menimbulkan pelbagai perasaan bimbang, takut, sedih serta stres.

"Begitu juga mereka yang berada dalam tempoh kuarantin, ditambah dengan kebimbangan potensi dijangkiti.

"Kita boleh mengenal pasti gejala melalui tanda fizikal seperti gementar atau kurang selera makan, tanda psikologi seperti perubahan emosi dan sukar tidur atau perubahan tingkah laku seperti kurang produktiviti kerja atau terlalu beremosi," katanya.

Vidyananthan berkata, masyarakat harus memperkasakan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran minda sihat, termasuk mengamalkan 10 B iaitu bersyukur, bernafas dengan dalam (deep breaths), bicara diri (sebut 'relekslah'), berkongsi perasaan dengan orang lain, beribadat, berehat dan mendengar muzik, berurut, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

Beliau berkata, rakyat Johor yang mempunyai isu berkaitan kesihatan mental, boleh menghubungi pasukan Sokongan Psikososial Dan Kesihatan Mental (MHPSS) negeri Johor di talian 07-2311027 yang beroperasi pada Ahad sehingga Rabu 8 pagi -5 petang dan Khamis dari 8 pagi ke 3.30 petang yang diselia oleh JKNJ.

"Mereka juga boleh mendapatkan pelbagai informasi di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia atau di telegram Pasukan MHPSS Johor https://t.me/MHPSSJohor,"katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X