Isnin, 25 Mei 2020 | 5:03pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua dari kanan) menyampaikan juadah Hari Raya kepada wakil Hospital Taiping. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua dari kanan) menyampaikan juadah Hari Raya kepada wakil Hospital Taiping. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

KKM nafi diskriminasi anak petugas barisan hadapan

TAIPING: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan bahawa anak petugas barisan hadapan didiskriminasi berikutan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) di taman asuhan kanak-kanak (taska) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata KKM bertindak mengikut SOP bagi memastikan wabak COVID-19 tidak menjangkiti golongan berisiko seperti kanak-kanak.

"Golongan barisan hadapan ialah antara yang paling berisiko tinggi. Justeru, kita sering menasihati mereka supaya sebelum pulang ke rumah dan berjumpa keluarga serta anak, haruslah mandi dan membersihkan diri dahulu.

"Oleh itu, saranan kerajaan supaya anak mereka dikekalkan di rumah atau diasingkan daripada kanak-kanak lain di taska, adalah tindakan betul bagi memastikan wabak ini tidak merebak, malah tidak timbul sebarang isu kita melayan petugas barisan hadapan secara tidak adil.

"Bagaimanapun, KKM akan bermesyuarat mengenai perkara ini dan memberi penerangan terperinci kepada semua pihak terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan 450 pek juadah Hari Raya kepada Hospital Parit Buntar dan Taiping, hari ini.

Bagi memastikan isu terbabit tidak berpanjangan, beliau turut menyarankan agar taska khas diwujudkan untuk menjaga anak petugas barisan hadapan sahaja.

"Saya berpendapat kita boleh mewujudkan taska khas bagi menempatkan anak-anak ini.

"Jika dapat diwujudkan, ia sudah bagus untuk memastikan kebajikan anak petugas barisan hadapan terbela.

"Namun, ini hanya cadangan peribadi saya. Sebarang keputusan adalah terpulang kepada pihak kerajaan dan kepimpinan tertinggi KKM," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi memaklumkan bahawa isu kelewatan gaji doktor di Hospital Sungai Buluh selama dua bulan, sudah selesai pada 22 Mei lalu.

Beliau menjelaskan, isu itu bukanlah disebabkan kelewatan pembayaran, sebaliknya ia berikutan kelewatan penerimaan beberapa borang yang perlu diisi dan dikemukakan.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X