Isnin, 25 Mei 2020 | 5:21pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: 172 kes baharu hari ini, tertinggi sejak 11 April

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu kembali melonjak kepada tiga digit semalam apabila sebanyak 172 kes baharu dilaporkan dengan sebahagian besarnya membabitkan individu bukan warganegara.

Kali terakhir jumlah kes baharu menunjukkan angka tiga digit ialah pada 3 Mei lalu iaitu sebanyak 122 kes manakala paras tertinggi pernah dicatatkan pada 11 April apabila sebanyak 184 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu sebanyak lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 167 kes penularan tempatan, yang mana 159 kes adalah membabitkan warga asing manakala lapan sahaja warga tempatan.

Dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 7,417 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,323 kes dan mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan. Hingga kini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat daripadanya masih memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan hingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 34 kes sudah pulih dan dibenarkan pulang. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan dibenarkan pulang ialah sebanyak 5,979 kes atau 80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, daripada maklumat terkini dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan COVID-19 semalam dan menjadikan jumlah kekal sebanyak 115 kes iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penularan COVID-19 membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI), terus meningkat dengan 227 kes positif direkodkan, setakat ini. Tiga depoh berkenaan ialah DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih dan DTI Sepang.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 53 kes membabitkan warga Bangladesh, India (41), Indonesia (38), Myanmar (37), Pakistan (28) dan China (17).

"Selain itu, empat kes membabitkan warga Kemboja, Nepal (tiga), Sri Lanka (dua) dan masing-masing satu kes warga Filipina, Libya, Mesir serta Syria.

"Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan sudah dijalankan, antara lain langkah nyah cemar, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun, serta penekanan mengenai penjarakan sosial," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sedang menyiasat punca jangkitan seorang kakitangan pentadbiran di depoh tahanan Imigresen di Semenyih yang dikesan positif COVID-19. Jangkitan itu boleh hadir daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di situ atau komuniti.

"Selepas kenal pasti kakitangan ini positif, kita terus saring keluarga mereka. Setakat ini, kita tak pasti sama ada jangkitan daripada OKT (orang kena tahan) atau komuniti," katanya.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan, 66 kes positif yang direkod di DTI Semenyih, dengan seorang daripadanya adalah kakitangan yang bertugas di sana.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X