Isnin, 25 Mei 2020 | 5:39pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika melawat sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Besi, Serdang, hari ini. - Foto NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika melawat sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Besi, Serdang, hari ini. - Foto NSTP

Polis buru individu lolos rentas negeri

KUALA LUMPUR: Kadar pematuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencapai 95 peratus dengan bakinya didapati ingkar termasuk segelintir yang merentas negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya kini sedang menjalankan operasi memburu segelintir yang 'terlepas' dan berjaya merentas negeri.

"Sehari sebelum raya (kelmarin), kami mula mengambil tindakan kompaun terhadap mereka yang ingkar arahan termasuk yang cuba merentas negeri.

"Untuk hari ini, kami sedang mengesan lima peratus mereka yang lolos merentas negeri dengan mengenakan kompaun melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) termasuk di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan mengejut di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menggalakkan anggota bertugas di SJR untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar.

"Sebelum ini, anggota bertugas tidak mengeluarkan kompaun kerana atas budi bicara mereka. Namun, sudah tiba masanya kami lebih berkeras terhadap perkara ini.

"Mungkin tindakan kami dilihat kejam kerana perlu bertindak menjaga keselamatan orang ramai, namun apa juga cemuhan terhadap anak buah, saya terima dengan hati terbuka kerana tindakan diambil adalah untuk kebaikan masyarakat sendiri," kata beliau.

Beliau berkata, selain penugasan di SJR, terdapat juga pasukan pemantau yang melakukan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan bagi sambutan hari raya.

"Jika dilihat kepada pemantauan dan rondaan dilakukan semalam di kawasan perumahan mendapati tiada kereta berkumpul di satu-satu rumah, malah pergerakan kenderaan dalam daerah juga terkawal.

"Ini menunjukkan ramai masyarakat faham dan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya melakukan kuarantin diri," katanya.

Mengulas mengenai kegigihan anak buahnya menjalankan tugas ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, Abdul Hamid berkata, beliau melihat mereka bersemangat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, tiada yang menunjukkan rasa kecewa dan tidak puas hati kerana dikehendaki bertugas pada hari raya selain terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu iaitu panas dan hujan ketika ini.

Berita Harian X