Isnin, 25 Mei 2020 | 5:42pm
Ktua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ktua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

COVID-19: 227 PATI di depoh tahanan Imigresen disahkan positif

PUTRAJAYA: Penularan wabak COVID-19 membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di tiga depoh tahanan Imigresen (DTI), terus meningkat dengan 227 kes positif direkodkan, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga depoh berkenaan ialah DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih dan DTI Sepang.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 53 kes membabitkan warga Bangladesh, India (41), Indonesia (38), Myanmar (37), Pakistan (28) dan China (17).

"Selain itu, empat kes membabitkan warga Kemboja, Nepal (tiga), Sri Lanka (dua) dan masing-masing satu kes warga Filipina, Libya, Mesir serta Syria.

"Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan sudah dijalankan, antara lain langkah nyahcemar, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun, serta penekanan terhadap penjarakan sosial," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes itu kerana depoh terbabit ialah tempat yang diasingkan daripada masyarakat dan sudah dikawal oleh pihak berkuasa.

Menjelaskan lanjut berhubung tiga depoh tahanan terbabit, beliau berkata, sebanyak 1,449 sampel sudah diambil di DTI Sepang, setakat jam 12 tengah hari tadi.

"Daripada jumlah itu, 36 kes positif COVID-19 dilaporkan, termasuk 29 pada hari ini. Sebanyak 540 kes lagi negatif, manakala 873 sampel masih menunggu keputusan.

"Bagi kluster DTI Bukit Jalil pula, sebanyak 1,536 sampel diambil terdiri daripada 1,422 orang kena tahan (OKT) dan 114 kakitangan. Daripada jumlah itu 126 kes positif, 514 lagi negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan.

"Sebanyak 1,757 sampel diambil di DTI Semenyih membabitkan 1,630 OKT dan 127 kakitangan. Daripada jumlah itu, 66 kes adalah positif, termasuk seorang kakitangan pentadbiran warga Malaysia. Selain itu, 753 kes negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya masih menyiasat punca jangkitan terhadap seorang kakitangan pentadbiran DTI Semenyih yang disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata, jangkitan itu boleh daripada PATI yang ditahan di sana atau komuniti.

"Selepas mengenal pasti kakitangan itu positif, kita terus saring keluarga mereka. Setakat ini, kita tidak pasti sama ada jangkitan daripada OKT atau komuniti," katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X