Isnin, 25 Mei 2020 | 6:12pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kluster baharu tapak pembinaan, 44 dijangkiti

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan tapak pembinaan di ibu negara yang kini sudah menjangkiti 44 individu bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah jangkitan yang tinggi itu mungkin disebabkan faktor cara hidup golongan berkenaan atau keadaan tempat tinggal.

Beliau berkata, biarpun prosedur operasi standard (SOP) pencegahan sudah dilaksana di tapak pembinaan, namun tiada kawalan membabitkan tempat tinggal.

"Daripada kajian kita, besar kemungkinan pekerja asing berkenaan duduk di tempat yang tertutup dan sempit. Itu menjadi faktor utama bagaimana jangkitan dapat menular.

"SOP di tapak pembinaan memang ada, tapi yang penting penempatan mereka, rumah dan cara mereka duduk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dengan memberi contoh penempatan warga asing di Masjid India, Kuala Lumpur, Dr Noor Hisham berkata, satu pangsapuri dihuni 30 orang.

"Ruang sempit menjadi satu faktor yang mendorong virus dapat berjangkit. Kita kena lihat faktor yang lain di kalangan pekerja asing. Kita percaya ruang sempit satu faktor penting yang perlu diperhalusi.

"Kita tiada vaksin, yang ada penjarakan sosial dan itulah vaksin yang ada," katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X