Isnin, 25 Mei 2020 | 6:21pm
Dr Noor Hisham (tengah) bersama sebahagian petugas barisan hadapan ketika melawat Hospital Putrajaya sempena Aidilfitri, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Dr Noor Hisham (tengah) bersama sebahagian petugas barisan hadapan ketika melawat Hospital Putrajaya sempena Aidilfitri, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

COVID-19: Anak petugas barisan hadapan diberi perhatian khusus, bukan pengasingan

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah mendiskriminasi anak petugas barisan hadapan yang ditempatkan di taman asuhan kanak-kanak (taska).

Sebaliknya, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) penjagaan di taska yang bakal dicadangkan bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Katanya, penyediaan ruang khusus itu adalah berikutan petugas barisan hadapan merupakan antara dua kelompok paling berisiko dijangkiti COVID-19, selain kontak rapat individu positif.

"Bukan kita sekat. Kita khaskan untuk anak petugas barisan hadapan daripada KKM. Kalau taska di hospital, tidak ada masalah. Namun jika bergaul dengan kanak-kanak lain, kita perlu khaskan.

"Ini bukan pengasingan tetapi khaskan di satu tempat. Kita memberi pengawasan khusus kepada anak petugas kesihatan.

"Mungkin cara ini dilihat seperti kita asingkan, namun sebenarnya ia memberikan perhatian khusus kepada mereka," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di negara ini, di sini, semalam.

Setakat ini, Dr Noor Hisham berkata, SOP untuk taska menyediakan ruang khusus bagi anak petugas barisan hadapan, masih diteliti dan belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kelulusan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, petugas kesihatan khususnya sentiasa diingatkan supaya mengamalkan pembersihan diri dan mengelakkan daripada menyentuh anak sebaik saja tiba di rumah selepas bekerja.

"Apabila kita pulang ke rumah, jangan sentuh anak dan yang utama ialah perlu membersihkan diri sebab ada kemungkinan kita membawa jangkitan terbabit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, petugas mengendalikan pesakit di hospital pula tidak pernah memilih individu yang dirawat, sebaliknya amanah itu dilaksanakan tanpa mengira usia dan kewarganegaraan.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • #taskid sendstory

    Berita Harian X