Isnin, 25 Mei 2020 | 8:45pm
Bas yang membawa tahanan Imigresen yang positif COVID-19 diiringi kenderaan Jabatan Imigresen dilihat memasuki Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, setelah kerajaan mengumumkan pusat itu akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khusus untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari tiga depoh imigresen yang positif COVID-19. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

207 pendatang tanpa izin positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 207 daripada 13,929 pendatang asing tanpa izin yang ditahan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Semenanjung Malaysia didapati positif COVID-19.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata daripada jumlah itu, 110 daripadanya sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk rawatan.

"Baki pendatang yang positif jangkitan itu masih lagi berada di tiga DTI iaitu di Bukit Jalil, KLIA dan Semenyih," katanya selepas mengiringi lawatan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke pusat kuarantin berkenaan, di sini, hari ini.

Datuk Khairul Dzaimee Daud. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Datuk Khairul Dzaimee Daud. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 238 pegawai Imigresen yang bertugas di tiga depoh tahanan terbabit dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari dan tugas kawalan diambil alih pegawai imigresen negeri yang berkaitan.

Khairul Dzaimee memaklumkan setakat ini terdapat seramai 14,496 pendatang tanpa izin di depoh tahanan negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Ismail Sabri, berkata lawatannya ke pusat kuarantin itu bagi melihat kemampuan tempat berkenaan menampung pesakit COVID-19 jika jumlahnya meningkat.

Beliau berkata pusat itu berkemampuan untuk menampung 600 pesakit dan kerajaan telah pun mengenal pasti beberapa lagi pusat kuarantin lain untuk menempatkan pendatang tanpa izin ini jika bilangan mereka meningkat. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X