Isnin, 25 Mei 2020 | 11:19pm
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. - NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. - NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

Tiada cubaan rentas negeri di lebuh raya pada raya kedua - JSPT

KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua Syawal, tiada lagi percubaan oleh pengguna lebuh raya untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata kebanyakan orang awam yang menggunakan lebuh raya pada hari ini hanya untuk pergerakan dalam negeri.

"Kebanyakan kenderaan bergerak di dalam negeri dan daerah yang sama sahaja, iaitu di bawah kawalan. Walaupun tiada percubaan rentas negeri, sekatan jalan raya diperketatkan juga," katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di plaza tol utama ibu negara, iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak, turut mendapati aliran trafik di ketiga-tiga lokasi terbabit berada dalam keadaan lancar serta tidak terlalu sibuk.

Azisman berkata, pergerakan di ketiga-tiga plaza tol itu berjalan lancar, termasuk yang diadakan sekatan jalan raya.

"Alhamdulillah, aliran trafik di ketiga-tiga sekatan jalan raya di plaza tol terbabit berjalan lancar, tiada kesesakan dan jumlah kenderaan sederhana," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati pihak berkuasa turut mengadakan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah utara dan Pantai Timur, iaitu Plaza Tol Jalan Duta serta Gombak.

Difahamkan, polis berbuat demikian bagi mengenal pasti mereka yang mungkin telah melepasi sekatan jalan raya sebelum ini. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X