Selasa, 26 Mei 2020 | 5:10pm

COVID-19: 187 kes baharu, sifar kematian direkodkan hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 187 kes baharu COVID-19 dilaporkan dengan 155 kes daripadanya dikesan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 7,604 kes.

Katanya, bagi kes pulih pula sebanyak 62 kes dicatatkan sehingga jam 12 tengah hari ini dan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes.

Beliau berkata, selain kes di DTI berkenaan, sebanyak 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap serta pasangan kepada warganegara Malaysia, manakala 13 kes lagi ialah menerusi kluster pengawal keselamatan Cheras.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,448 kes, mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Daripada jumlah berkenaan, seramai lima individu masih memerlukan bantuan pernafasan. Selain itu, bagi kes kematian pula, hari ini tiada pertambahan kes kematian disebabkan oleh COVID-19, justeru jumlah kumulatif kes kematian di negara ini kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham meminta supaya masyarakat terus mempraktikkan normal dan kebiasaan baharu di dalam kehidupan seharian supaya rantaian wabak berkenaan dapat diputuskan.

Antaranya masyarakat diseru untuk elak berada di tempat sesak dan sempit serta tidak bertutur dengan jarak yang dekat, kerap mencuci tangan menggunakan sabun dan air.

"Selain itu masyarakat juga digalakkan menggunakan pelitup separuh muka terutamanya di tempat awam atau jika bergejala. Malah masyarakat juga perlu elak bersalaman atau bersentuhan dan mengikut etika batuk atau bersin," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
    Berita Harian X