X
Selasa, 26 Mei 2020 | 11:03pm

'Tok Mat pejuang sehingga ke akhir hayatnya'

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib yang meninggal dunia akibat kanser hati, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Kem Sungai Besi, kira-kira jam 10 malam ini.

Terdahulu, jenazah Ahmad, 69, tiba Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan kira-kira jam 7.40 malam untuk dimandikan dan dikafankan seterusnya disolatkan.

Solat jenazah diimamkan anak bongsu Allahyarham, Al-mu Syarisyawal Ahmad dan turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, serta ahli keluarga Allahyarham.

Solat jenazah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk pemakaian penutup hidung dan mulut, serta penjarakan sosial antara jemaah.

Sejurus solat jenazah selesai, jenazah dibawa ke tanah perkuburan dan difahamkan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan berada di kawasan perkuburan, bagi urusan pengebumian.

Anak bongsu Allahyarham Ahmad, Al-mu Syarisyawal mengimamkan solat jenazah ayahnya di Masjid Al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan malam ini. - Foto BERNAMA
Anak bongsu Allahyarham Ahmad, Al-mu Syarisyawal mengimamkan solat jenazah ayahnya di Masjid Al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan malam ini. - Foto BERNAMA

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 5.42 petang tadi, selepas bertarung dengan kanser hati.

Anak sulung Allahyarham, Sophia Ahmad, 42, berkata, keluarganya reda dengan pemergian bapanya yang dikenali dengan panggilan Tok Mat itu dan berbangga kerana ayahnya itu berjuang sehingga ke akhir usianya.

"Kami termasuk Allahyarham hanya mengetahui mengenai penyakit kanser sekitar April lalu dan dia tidak pernah mengalah atau menunjukkan kekecewaan di hadapan kami.

"Dia tenang menghadapi tempoh rawatan di hospital malah sentiasa berbual dengan kami yang sentiasa risau dengan keadaannya. Itulah sifatnya yang sentiasa berjuang dari usia muda hingga ke akhir hayat," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia dan ahli keluarga lain khususnya ibunya sangat tenang menerima ketentuan itu malah bersedia dengan pemergian Allahyarham.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Kubu Bharu meninggalkan balu, Datin Norsimah Daud, 66, empat anak dan seorang cucu.

Kerjaya Allahyarham bermula sebagai wartawan kadet Perkhidmatan Berita Ekonomi di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 1972, sebelum berhijrah dan berkhidmat di Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) pada 1978, dan akhbar tempatan Berita Harian sekitar 1985.

Pada 1987, Ahmad dilantik sebagai Penolong Pengarang Berita Harian dan pernah memegang beberapa jawatan utama seperti Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita; Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan, sekitar tahun 1991 hingga 1996.

Allahyarham seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times pada 1998 dan sebagai Pengurus Besar Kumpulan (Komunikasi dan Pemasaran Editorial) New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada 2004.

Beliau bersara awal daripada Kumpulan NSTP pada 2005.

Pada Julai 2009, Ahmad menyertai semula NSTP dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu dan Media Prima Bhd (MPB), seterusnya dilantik sebagai Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPB pada 2013.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) memberi penghormatan kepada Allahyarham Ahmad di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasek Selatan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) memberi penghormatan kepada Allahyarham Ahmad di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasek Selatan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Datin Norsimah Daud mengiringi jenazah suaminya, Allahyarham Ahmad, di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasek Selatan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Datin Norsimah Daud mengiringi jenazah suaminya, Allahyarham Ahmad, di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasek Selatan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X