X
Rabu, 27 Mei 2020 | 3:51pm
Pengusaha kedai gunting merayu kerajaan benarkan mereka kembali beroperasi kerana ramai yang hampir gulung tikar. - Foto hiasan
Pengusaha kedai gunting merayu kerajaan benarkan mereka kembali beroperasi kerana ramai yang hampir gulung tikar. - Foto hiasan

Gunting rambut: Dulu tak nak buka, sekarang rayu kebenaran

KUALA LUMPUR: Isu berhubung pemantauan operasi dan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) premis dan pendaftaran perniagaan yang belum selesai dipercayai menjadi antara halangan untuk membolehkan kedai gunting rambut, salun dandanan dan kecantikan untuk kembali dibuka.

Setakat ini, persatuan dan pengusaha sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) minggu lalu.

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto, berkata tujuh persatuan gunting rambut yang menyertai gabungan itu sedang berusaha keras bagi menyelesaikan isu berbangkit sekali gus membolehkan kedai gunting, dandanan dan salun beroperasi semula.

Tujuh persatuan itu adalah Persatuan Pendandan Malaysian (MHA); Persatuan Pendandan Bumiputera (BUHA); Persatuan Penggunting rambut Bumiputera (MBBA); Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rabut (HSDA); Persatuan Pemerkasaan JurugayaRambut India Malaysia (MIHASS); Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS) dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Perseketuan (PJRISWP).

"Secara umumnya, kerajaan memang mahu sektor ini beroperasi semula dan menyediakan beberapa prosedur operasi standard (SOP) untuk industri patuhi.

"Kami juga memberikan cadangan SOP, yang mana hampir 99 peratus menepati SOP disediakan kerajaan," katanya kepada BH.

Hingga kini, kerajaan masih belum membenarkan perkhidmatan gunting, dandanan dan salun kecantikan beroperasi walaupun kebanyakan sektor ekonomi yang lain sudah dibuka semula.

Pekerja kedai gunting rambut, Kaviyarasan 26, bersama rakan sekerja, A Vignes 26 (kanan), yang berasal dari Chennai India, menggunting rambut pelanggan. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad
Pekerja kedai gunting rambut, Kaviyarasan 26, bersama rakan sekerja, A Vignes 26 (kanan), yang berasal dari Chennai India, menggunting rambut pelanggan. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad

Pada 13 April lalu, kerajaan mengumumkan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April, selain mengumumkan beberapa sektor ekonomi terpilih akan dibenarkan untuk dibuka.

Sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk kedai gunting rambut dan salun kecantikan, kedai elektrik dan elektronik, pembinaan, optometri dan perkakasan (hardware).

Sehari selepas itu kebenaran untuk kedai gunting, dandanan rambut dan salun kecantikan beroperasi ditarik balik kerana bertentangan dengan arahan penjarakan sosial yang ditetapkan KKM.

Keputusan kerajaan itu turut disokong MINDAS yang bimbang dan berasa tidak selamat untuk membuka perniagaan kerana jangkitan boleh berlaku melalui penggunaan peralatan seperti gunting dan sikat, mesin pemotong rambut.

Bagaimanapun, memasuki fasa PKP Bersyarat (PKPB) yang akan berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, ramai kalangan pengusaha kedai gunting yang mengeluh kerana kehilangan pendapatan selepas lama tidak beroperasi.

Bambang menjelaskan, antara isu yang menjadi kebimbangan kerajaan adalah pihak yang akan memantau operasi kedai gunting rambut dan salun kecantikan.

Katanya, SOP yang dicadangkan industri setakat ini menepati apa ditetapkan kerajaan, justeru pihaknya menunggu keputusan kerajaan yang hingga kini masih tidak memberikan apa-apa komitmen mengenainya.

"Kami merayu jika kebenaran diberikan segera kerana ada banyak isu berkaitan perniagaan dan pusingan modal perniagaan. Bagi syarikat yang besar, mungkin tidak ada masalah tetapi peniaga kecil dan sederhana kebanyakan kini tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian.

"Ada antara peniaga terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos bayaran sewa, yang mana ada pemilik masih mengenakan sewa yang sama walaupun tahu kami kini tidak boleh beroperasi," katanya.

Ditanya mengenai rayuan pembukaan semula itu kerana sebelum ini ada yang setuju kerajaan menarik balik kebenaran, katanya hanya ada satu persatuan saja yang bertindak sedemikian.

"Saya difahamkan keputusan itu dibuat tanpa perbincangan lanjut dengan persatuan yang lain. Kini persatuan itu bersama kami berjuang untuk membolehkan dibenarkan beroperasi semula," katanya.

Sementara itu, Presiden PJRISWP, M Ganathiban mengakui pada awalnya mereka bimbang untuk membuka semula operasi kerana industri berisiko tinggi menyebabkan jangkitan.

Namun, katanya PKP sudah berlarutan dan kerugian yang ditanggung semakin tinggi menyebabkan persatuan mahu kebenaran beroperasi diberikan.

"Sudah ramai peniaga yang gulung tikar kerana tiadanya pemotongan kadar sewa. Ramai yang kena bayar penuh sewa walaupun tidak boleh beroperasi," katanya.

Presiden MBBA, T N Winda Mohd Tahir merayu kerajaan memberikan bantuan khusus untuk pengusaha kedai gunting dan dandanan rambut serta salun kecantikan yang terjejas teruk akibat tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, kebimbangan mereka bukan hanya isu kebenaran beroperasi tetapi kerugian yang ditanggung.

"Ramai gulung tikar kerana masalah pusingan modal dan bayaran sewa. Lebih perit ada yang membuat hutang untuk menanggung kos kedai walaupun tidak beroperasi.

"Jika boleh tawaran bantuan disegerakan kerana ramai yang tertekan kerana tidak dapat beroperasi walaupun permintaan tinggi terutama pada musim perayaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X