X
Rabu, 27 Mei 2020 | 11:28pm
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar.

Kenapa cabar hukuman lebih rendah mengikut undang-undang Islam? - Zainul Rijal

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mempersoalkan tindakan seorang lelaki mencabar keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 berhubung "persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii."

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ia berikutan tindakan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar Seksyen 28 yang membawa hukuman jauh lebih rendah daripada diperuntukkan Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, hukuman bagi persetubuhan bertentangan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang mengikut Seksyen 28 boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau tidak lebih enam sebatan, atau dengan mana-mana kombinasi hukuman.

Katanya, kesalahan sama mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan pula boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

"Oleh itu timbul persoalan apakah niat sebenar lelaki itu atau sesiapa juga di belakang beliau mencabar Enakmen Syariah dan bukan Kanun Keseksaan... Apakah keuntungan yang akan diperoleh apabila mencabar undang-undang yang membawa hukuman lebih ringan berbanding yang lebih berat?

"Adakah hukuman berat dalam Kanun Keseksaan menggambarkan layanan saksama bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Begitu juga jika terdapat dua kesalahan yang sama, sudah diputuskan seseorang itu tidak boleh didakwa atas kesalahan sama sebanyak dua kali di mahkamah lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainul Rijal berkata, PPMM beranggapan asakan yang tidak putus-putus terhadap institusi perundangan Islam sejak kebelakangan ini yang membawa agenda tersembunyi dengan objektif tertentu.

Sehubungan itu, ia meminta kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) khususnya supaya memohon mencelah dalam prosiding apabila merit kes didengar kelak.

Lelaki itu antara seorang daripada sebelas lain yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, didakwa melakukan kesalahan seks di luar tabii, dan mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar enakmen syariah berkenaan pada 14 Mei lalu.

Beliau juga dilaporkan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi permohonan itu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan, begitu juga perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Berita Harian X