Khamis, 28 Mei 2020 | 3:11pm
Ahli Keluarga mangsa bersama penduduk mengaminkan doa selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menjumpai mayat terakhir, Khalif Naim Mohd, 16 yang lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong kira kira jam 12.40 tengahari ketika ditemui 170 meter dari lokasi kejadian. -Foto NST/Ghazali Kori
Ahli Keluarga mangsa bersama penduduk mengaminkan doa selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menjumpai mayat terakhir, Khalif Naim Mohd, 16 yang lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong kira kira jam 12.40 tengahari ketika ditemui 170 meter dari lokasi kejadian. -Foto NST/Ghazali Kori

Adik seronok beraya walaupun PKPB

HULU TERENGGANU: "Pagi hari raya, kami membuat panggilan video dan nampak kegembiraan mereka menyambut Hari Raya kali ini, berbanding hari raya sebelum ini walaupun sambutan kali ini kita terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, (PKPB)."

Amirul Aizam Mohd, 29, abang kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu, dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam, berkongsi detik terakhir berkomunikasi dengan ketiga-tiga adiknya.

Amirul Aizam yang bekerja di Bukit Naning, Muar, Johor, berkata dia membuat panggilan video kerana ingin bersama adik-beradik walaupun terpaksa beraya sendirian di Muar kerana tidak dapat pulang, berikutan pelaksanaan PKPB.

"Oleh kerana tidak dapat pulang beraya di kampung, saya mengirim duit raya dan bunga api kepada adik yang dikirim kepada kawan yang pulang beraya di kampung," katanya ketika ditemui selepas membuat pengecaman ketiga-tiga mayat adiknya.

Katanya, seronok berkongsi kegembiraan adik-beradiknya menyambut hari raya dan bermain bunga api tetapi tidak menyangka keceriaan itu dikejutkan dengan berita sedih apabila tiga adiknya, Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16,

lemas di sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya di kampung berkenaan.

Amirul Aizam menerima berita sedih itu daripada ibu tirinya, Nursha Azura Salim, 38, yang dipanggil Mama, sejurus kejadian itu berlaku.

"Sebak, sedih dan macam-macam yang bermain di fikiran sebaik Mama memaklumkan kejadian itu.

"Semalaman saya tidak dapat tidur dan bertolak balik dengan memandu kereta malam tadi dan tiba di sini (kampung) jam 4.45 pagi tadi," katanya.

Amirul Aizam berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa keluarganya apatah lagj mereka masih lagi dalam suasana hari raya.

Bagaimanapun, katanya bersyukur apabila ketiga-tiga mayat adiknya ditemui dalam masa yang singkat.

"Alhamdulillah... syukur ketiga-tiga mayat dalam keadaan sempurna," katanya.

Jenazah tiga beradik itu akan disemadikan di satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Limbat, Bukit Payung, Marang selepas solat Asar.

Berita Harian X