Khamis, 28 Mei 2020 | 5:16pm
 Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kes jangkitan baharu paling rendah, sifar kematian

PUTRAJAYA: Hanya 10 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini, jumlah paling rendah sejak penularan wabak berkenaan dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan jumlah pulih pula meningkat sebanyak 86 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 6,169 atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, bagi jumlah kes baharu pula ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 7,629 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,345 kes.

"Setakat dilaporkan hari ini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X