Khamis, 28 Mei 2020 | 6:16pm

Tingkatkan amalan 3W, jauhi 3S, 3C

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3S atau 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn)

Katanya, peringatan itu termasuk elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung.

"Elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

"Selain itu, ingatlah kepada S.O.P. S ialah syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). O pula orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi.

"Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan. P pula penjarakan sosial diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa jangkitan wabak itu di dalam dan luar negara melalui maklumat diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini.

"KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya akan dilaksanakan secara berterusan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X