Khamis, 28 Mei 2020 | 6:34pm

COVID-19: Protokol kawal penularan di 18 depoh tahanan dirangka

KUALA LUMPUR: Prosedur penempatan dan protokol kesihatan sedang dirangka bagi mengekang potensi penularan jangkitan COVID-19 di 18 depoh tahanan warga asing yang lain di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan 14 daripada keseluruhan depoh tahanan itu adalah bawah seliaan Jabatan Imigresen, manakala baki iaitu empat lokasi lagi di Sabah, kendalian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat ini, katanya, kementerian masih menggunakan pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap tiga depoh tahanan imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Sepang dan Semenyih bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak.

"Ia sama seperti PKPD yang mana kita akan buat saringan terhadap semua, iaitu sama ada kakitangan di DTI atau orang kena tahan (OKT).

"Hari ini tiada laporan kes baharu lain membabitkan DTI, namun kita sudah tegaskan sebelum ini bahawa siapa yang bakal ditahan dan ditempatkan di DTI perlu disaring.

"Protokol kemasukan OKT di DTI kini sedang dirangka, tetapi buat masa ini kita wajibkan saringan terhadap semua sebelum mereka ditempatkan di pusat tahanan.

"Pendekatan ini bukan saja membabitkan DTI, tetapi akan diperluaskan kepada penempatan tahanan lain seperti penjara," katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Depoh tahanan imigresen KLIA, Sepang. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Depoh tahanan imigresen KLIA, Sepang. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X