Khamis, 28 Mei 2020 | 7:45pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (dua dari kiri) memeriksa dokumen perjalanan orang ramai dalam Ops Pematuhan terhadap penumpang selepas menggunakan perkhidmatan komuter di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Butterworth di sini. - NSTP/Danial Saad
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (dua dari kiri) memeriksa dokumen perjalanan orang ramai dalam Ops Pematuhan terhadap penumpang selepas menggunakan perkhidmatan komuter di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Butterworth di sini. - NSTP/Danial Saad

Polis puji nenek tulis surat pohon rentas negeri

BUTTERWORTH: Tindakan seorang nenek menulis sendiri surat permohonan untuk merentas negeri mendapat pujian polis yang mengadakan Op Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata walaupun berusia 70 tahun, tindakan wanita warga emas itu wajar dipuji kerana patuh arahan apabila melakukan pergerakan rentas negeri dengan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

"Lebih mengharukan, wanita itu menulis sendiri surat permohonan berkenaan dengan tulisan tangan yang mempunyai cap pengesahan Ketua Polis Balai Butterworth.

"Tindakannya itu menunjukkan kesungguhannya untuk mematuhi arahan walaupun dirinya sudah berusia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy berkata, seramai 96 individu diperiksa dalam menghalang cubaan orang awam merentas negeri.

"Daripada jumlah diperiksa, lima individu dikenakan kompaun kerana masuk ke Pulau Pinang dengan pelbagai alasan tanpa mengemukakan sebarang dokumen.

"Kelima-lima mereka melakukan pergerakan rentas negeri dari Padang Besar, Perlis ke Butterworth," katanya.

Beliau berkata, selain stesen KTMB Butterworth, kawasan tumpuan seperti KTMB Tasek Gelugor juga dalam pemerhatian polis.

"Orang awam diingatkan supaya tidak sesekali cuba merentas negeri dan sekiranya perlu berbuat demikian, mereka kena mengemukakan dokumen kelulusan," katanya.

Berita Harian X