Khamis, 28 Mei 2020 | 10:01pm
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA

Syed Saddiq belum terima surat gugur keahlian

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman belum menerima sebarang surat atau makluman rasmi berkenaan pengguguran keahlian daripada parti itu.

Timbalan Ketua ARMADA, Mohd Aizad Roslan yang memaklumkan perkara berkenaan menegaskan bahawa Ahli Parlimen Muar itu masih lagi ahli BERSATU yang sah dan Ketua ARMADA.

"Saya berhubung secara peribadi dengan Syed Saddiq dan setakat jam 9.10 malam, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menerima apa-apa surat atau makluman rasmi berkenaan pengguguran beliau sebagai ahli BERSATU.

"Secara peribadi, saya juga tidak mendapat apa-apa makluman berkenaan mana-mana mesyuarat oleh BERSATU untuk membincangkan status dan kedudukan Syed Saddiq dalam parti.

"Beliau juga tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin BERSATU," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau mengulas mengenai surat yang tersebar hari ini memaklumkan keahlian Syed Saddiq serta empat yang lain termasuk bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad terhenti serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

Tiga lagi yang turut menerima notis berhubung kedudukan sebagai ahli BERSATU ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Mengulas lanjut, Mohd Aizad berkata, sebagai sebuah parti politik yang sah berdaftar di Malaysia, setiap keputusan perihal kedudukan ahli dalam parti harus diurus mengikut prosedur dan perlembagaan parti.

"Saya sentiasa menyokong penuh Syed Saddiq sebagai Ketua ARMADA Malaysia yang sah menurut perlembagaan BERSATU," katanya.

Berita Harian X