Jumaat, 29 Mei 2020 | 8:05am
Gambar hiasan. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Gambar hiasan. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

227 individu dikuarantin terima bantuan khas

KUALA LUMPUR: Seramai 227 individu yang dirawat dan dikuarantin sudah menerima bantuan khas hilang pendapatan sebanyak RM100 sehari membabitkan jumlah RM309,700 daripada Tabung COVID-19, setakat semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Mohamad Azhan Md Amir, berkata ada dalam kalangan pesakit berkenaan menjalani tempoh rawatan dan dikuarantin tidak sampai 14 hari.

"Jumlah pemberian bergantung kepada berapa hari mereka dikuarantin dan berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Setakat ini, NADMA menerima lebih 8,000 permohonan untuk bantuan khas itu sejak Tabung COVID-19 dilancarkan 11 Mac lalu," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Tabung COVID-19 terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan tapisan dengan bantuan KKM untuk memastikan semua urusan pengagihan bantuan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekangan apabila terdapat maklumat yang diberikan pemohon tidak lengkap.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang ingin memohon bantuan itu supaya membaca dan memahami syarat kelayakan yang ditetapkan untuk memastikan permohonan dapat diuruskan dengan cepat.

Beliau berkata bantuan itu hanya dikhaskan kepada warga Malaysia yang kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh kuarantin oleh KKM selama 14 hari serta mereka yang menjalani rawatan di wad hospital akibat COVID-19.

Tambahnya, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 juga sudah diserahkan kepada kepada 87 waris mangsa yang terkorban kerana COVID-19, membabitkan jumlah keseluruhan RM435,000.

Sehingga semalam, Tabung COVID-19 mengumpulkan sebanyak RM42.924 juta hasil pelbagai sumber termasuk sumbangan awal kerajaan, institusi diraja, anggota pentadbiran dari 25 kementerian, korporat serta individu.

Menyentuh mengenai isu penipuan dalam talian, Mohamad Azhan menasihati orang ramai sentiasa merujuk kepada laman web rasmi NADMA dan talian 03-88704800 bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai bantuan berkenaan.– BERNAMA

Berita Harian X