Jumaat, 29 Mei 2020 | 2:33pm

PKPB: Tiada kompaun kesalahan ziarah Aidilfitri semalam

PUTRAJAYA: Tiada sebarang kompaun dikeluarkan oleh polis atas kesalahan ziarah Aidilfitri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini sekali gus menunjukkan kesedaran rakyat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin tinggi.

"Daripada 434 kompaun dikeluarkan oleh polis kerana ingkar SOP PKPB, tiada satu pun yang membabitkan kesalahan ziarah Aidilfitri.

"Saya percaya selepas ini pun tiada lagi ziarah Aidilfitri dilakukan," katanya pada sidang media harian PKPB, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, polis semalam menahan 114 individu atas kesalahan mengingkari PKPB dengan 86 direman, manakala baki 28 lagi diberi jaminan polis.

Beliau berkata, sebanyak 114 kompaun dikeluarkan di lapangan, termasuk 108 daripadanya dikeluarkan dalam sekatan jalan raya.

"Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan.

"Kerjasama dan kawalan kendiri daripada semua pihak amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Che Abdullah Salleh, 70, memasang notis tidak menerima tetamu sempena Aidilfitri tahun ini di rumahnya di Kampung Banggol Tok Esah, Manir, bagi mematuhi SOP PKPB. - NSTP/GHAZALI KORI
    Che Abdullah Salleh, 70, memasang notis tidak menerima tetamu sempena Aidilfitri tahun ini di rumahnya di Kampung Banggol Tok Esah, Manir, bagi mematuhi SOP PKPB. - NSTP/GHAZALI KORI
    Berita Harian X