Jumaat, 29 Mei 2020 | 2:43pm

PKPB: Proses temu duga secara dalam talian untuk kemasukan UA

PUTRAJAYA: Proses temu duga yang perlu dijalani oleh pelajar bagi kemasukan ke universiti awam (UA), boleh dilakukan secara dalam talian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihak universiti sudah melaksanakan inisiatif berkenaan sejak April lalu.

"Memang kita tidak membenarkan pergerakan rentas negeri ketika ini, justeru pelajar yang perlu melalui temu duga untuk kemasukan ke UA boleh melakukannya secara dalam talian.

"Perkara ini sebenarnya sudah berjalan dengan pihak universiti memulakan inisiatif terbabit sejak bulan lalu," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Ismail Sabri berkata, proses itu adalah sama seperti pengumumannya berhubung individu perlu menghadiri proses temu duga pekerjaan.

"Oleh itu, boleh menggunakan teknologi sedia ada dengan melaksanakan proses temu duga secara maya," katanya.

Jika kawasan terbabit tiada kemudahan Internet, beliau berkata, UA membenarkan pelajar merekod video mereka menggunakan telefon bimbit dan menghantarnya kepada pihak universiti.

"Kesimpulannya, tidak perlu temu duga secara bersemuka dan boleh buat secara maya," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menghantar 54,656 pelajar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sejak 27 April lalu.

"Sebagaimana SOP ditetapkan, KPT memastikan semua pelajar yang terbabit pergerakan ke kampung halaman, menjalani ujian saringan sebelum dihantar pulang," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
    Berita Harian X