X
Jumaat, 29 Mei 2020 | 4:13pm
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

'Kata nak pecat, saya tunggu di pejabat'

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau masih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hadir ke ibu pejabat parti itu, petang ini selepas digugurkan keahliannya bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada parti itu, semalam.

Menerusi status di Facebook rasminya, beliau menyatakan hadir ke ibu pejabat itu berkaitan urusan pengguguran keahliannya.

"Kata nak pecat, saya tunggu di pejabat," katanya dalam catatan itu yang disertakan video berdurasi 36 saat yang memperlihatkan beliau masuk ke pejabat dan duduk di kerusi bersama beberapa orang pengiring.

Dijangkakan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengadakan sidang media bagi menjawab isu pengguguran keahlian itu di lokasi yang sama.

Semalam, BERSATU menggugurkan keahlian Dr Mahathir bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada parti itu.

Mereka yang lain ialah bekas Timbalan Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Mengikut surat yang diterima mereka, keahlian mereka terhenti serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

Ini kerana kelima-lima pemimpin itu menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi BERSATU pada sidang Parlimen 18 Mei lalu.

Sebaliknya kesemua pemimpin itu memilih duduk di blok pembangkang.

Surat makluman mengenai perkara berkenaan yang bertarikh 28 Mei ditandatangani Setiausaha Kerja BERSATU, Muhamad Suhaimi Yahya.

Berita Harian X