Jumaat, 29 Mei 2020 | 5:56pm

Individu kluster Pedas dikuarantin, positif COVID-19

PUTRAJAYA: Pekerja kilang pemprosesan ayam yang dikuarantin selama 14 hari sebelum ini dikesan positif jangkitan COVID-19, sekali gus menyaksikan peningkatan kes baharu dalam kluster terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan 53 daripada 54 kes positif yang dikesan membabitkan kluster Pedas adalah dalam kalangan bukan warganegara.

Beliau berkata, hanya seorang daripada 54 kes positif membabitkan rakyat tempatan, iaitu pekerja kantin di kilang pemprosesan ayam berkenaan.

"Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kita kuarantin individu yang didapati negatif jangkitan COVID-19 atau dikesan terdedah kepada kontak rapat.

"Oleh itu, peningkatan kes dalam kluster ini dikesan berlaku membabitkan individu yang dikuarantin, selepas saringan secara berkala dibuat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada 2 Mei lalu mengesahkan bahawa KKM mengenal pasti loji pemprosesan komersial daging ayam di Pedas, Negeri Sembilan sebagai kluster baharu COVID-19.

Berdasarkan laporan itu, kluster terbabit mula dikesan apabila seorang kakitangan syarikat mengalami gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu.

Pekerja terbabit didapati positif COVID-19 selepas dia menjalani saringan ujian pada 10 April lalu dan keputusannya dikeluarkan dua hari kemudian.

Dr Noor Hisham berkata, penularan jangkitan dalam kalangan pekerja asing berupaya ditangani sekiranya isu penempatan atau kediaman mereka diselesaikan secepat mungkin.

"Masalahnya mereka duduk dalam tempat yang sempit, justeru penularan senang berlaku dan wabak merebak ke rakan lain.

"Sekiranya isu penempatan pekerja asing ini berupaya ditangani, kementerian percaya bukan hanya penularan COVID-19 dapat dibasmi, tetapi juga penyakit berjangkit lain.

"Oleh itu, semua pihak kena berganding bahu untuk menyelesaikan perkara ini kerana khidmat pekerja asing digunakan merentasi kementerian dan agensi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • - Foto hiasan
    - Foto hiasan
    Berita Harian X