Sabtu, 30 Mei 2020 | 11:42am
KEMASUKAN pelajar baru UPU diumumkan, Rabu ini. Gambar hiasan
KEMASUKAN pelajar baru UPU diumumkan, Rabu ini. Gambar hiasan

Keputusan UPU diumum Rabu ini

KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kemasukan ke program pengajian asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda akan diketahui Rabu ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan ia membabitkan kemasukan ke universiti awam (UA), Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Individu yang memohon boleh menyemak status bermula jam 12 tengah hari, pada hari berkenaan melalui saluran hebahan di UPUPocket 2.0.

"Sebanyak 205,972 permohonan bagi Lepasan SPM diterima dan calon ini terdiri daripada mereka yang layak dan melepasi syarat am serta syarat khas program pengajian bagi kemasukan ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA," kata kenyataan itu.

Selain menerusi UPUPocket 2.0, mereka juga boleh menyemak status menerusi pautan http://jpt.umt.edu.my; http://jpt.ums.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.utm.my dan http://jpt.uum.edu.my.

"Surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA dan semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh ditetapkan.

"Tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan," katanya.

Katanya, pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA boleh mengemukakan rayuan.

"Bagi permohonan ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline Rayuan di pautan http://upu.moe.gov.my dalam tempoh lima hari bekerja mulai 3 Jun hingga 10 Jun, jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

"Bagi permohonan ke Politeknik Premier, Politeknik Konvensional / METrO, Kolej Komuniti dan ILKA, rayuan boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan terus kepada agensi berkaitan," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA selepas pendaftaran pelajar baharu.

"Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) akan membuka kemudahan 'Hotline' mulai 3 Jun hingga 10 Jun dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

"Pemohon boleh menghubungi BKPA JPT di talian telefon 03-8870 8200 untuk bantuan," katanya.

Berdasarkan lampiran disediakan, pendaftaran kemasukan ke 17 UA akan bermula pada 13 Julai hingga 4 Oktober depan sementara kategori lain bermula pada 5 Julai hingga 4 Januari tahun depan.

Berita Harian X