Sabtu, 30 Mei 2020 | 3:10pm

PKPB: 471 dikompaun, 114 ditahan polis

KUALA LUMPUR: Seramai 471 individu dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, atas pelbagai kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan daripada 300 kompaun yang dikeluarkan, terdapat satu kompaun diberikan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

"Sebanyak 171 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu, sebanyak 76 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya.

"PDRM turut menahan 114 individu semalam, atas kesalahan ingkar arahan PKPB. Daripada jumlah itu, seramai 108 individu direman, manakala enam lagi diberi jaminan polis.

"Semua pihak diingatkan untuk patuh SOP dan peraturan ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri anda amat penting dalam memerangi wabak COVID-19," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, PDRM semalam melaksanakan 147 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 240,268 kenderaan.

Katanya, pasukan petugas operasi pematuhan turut membuat 71,830 pemeriksaan semalam, membabitkan 4,826 pasar raya, 5,360 restoran, 800 penjaja, 1,151 kilang, 3,826 bank, 1,761 pasar awam, 4,313 tempat ibadah, 2,980 tempat riadah dan 659 tapak binaan.

Pemeriksaan turut dilakukan di 2,500 terminal pengangkutan darat, air dan udara serta memeriksa 22,272 kenderaan persendirian, 1,894 kenderaan awam dan 420 kapal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.FOTO/BERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.FOTO/BERNAMA
Berita Harian X