Sabtu, 30 Mei 2020 | 6:46pm
Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.NSTP.
Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.NSTP.

COVID-19:Kakitangan Wisma Putra dikesan positif

PUTRAJAYA: Seorang kakitangan Kementerian Luar dikesan positif COVID-19 menerusi saringan kesihatan diadakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kementerian itu semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan hal itu dan memaklumkan ia adalah kes pertama membabitkan kakitangannya.

Menurut beliau, sebelum menjalani ujian saringan, pesakit berkenaan tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19 seperti demam, selsema, batuk atau sakit tekak.

"Kakitangan yang positif COVID-19 itu ditempatkan di Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Susulan pengesanan kes pertama itu, proses nyah kuman dilakukan serta merta di Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Hishammuddin berkata, Wisma Putra telah mengenalpasti sejumlah kakitangan dari beberapa bahagian di kementerian itu termasuk Pejabat Menteri yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan.

Tambahnya, kesemua kontak rapat itu telah diarah menjalani

ujian saringan kesihatan di KKM hari ini.

Katanya, pada masa sama mereka juga diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.

"Tindakan diambil Wisma Putra ini adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik COVID-19 seperti yang ditetapkan KKM.

"Wisma Putra juga sentiasa mematuhi dan mengamalkan penjarakan sosial yang ketat bagi setiap kakitangan dan individu yang berurusan di kementerian ini.

"Saya ingin mengingatkan kakitangan dan pelanggan yang berurusan di kementerian ini sentiasa mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, memeriksa suhu, membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan sentiasa memastikan penjarakan sosial.

"Wisma Putra sentiasa komited bagi memastikan seluruh warga kementerian ini bebas dari COVID-19 serta terus bekerjasama dengan KKM bagi menangani penularan wabak pendemik ini,"katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X