Selasa, 2 Jun 2020 | 2:53pm

Saringan hanya di Penjara Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Proses saringan COVID-19 hanya dilakukan di Penjara Sungai Buloh selepas disahkan wujud kes positif di situ, tidak membabitkan semua penjara di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu sama seperti yang dilakukan ketika kes positif virus berkenaan dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) sebelum ini.

"Kita hanya buat saringan di kawasan yang terbabit sahaja. Katakan Penjara Sungai Buloh, kita buat saringan di penjara yang ada positif COVID-19 sahaja.

"Sama seperti DTI, oleh kerana positif hanya berlaku di DTI Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang, tiga sahaja yang kita saring," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata kakitangan Penjara Sungai Buloh dan 800 banduan di penjara itu akan disaring susulan seorang bekas banduan warga asing didapati positif Covid-19.

Bekas banduan berkenaan dipenjarakan di situ pada 2016 sebelum dibebaskan 13 Mac lalu dan selepas didapati positif COVID19, dia dipindahkan ke DTI Semenyih.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X