Selasa, 2 Jun 2020 | 10:30pm
Pangsapuri Segar Ria, Taman Bukit Segar, Cheras. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pangsapuri Segar Ria, Taman Bukit Segar, Cheras. - NSTP/Hazreen Mohamad

COVID-19: Annuar sahkan surat arahan aktiviti kawalan, pensampelan di Pangsapuri Segar Ria

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, hari ini mengesahkan surat arahan berhubung aktiviti kawalan dan pensampelan COVID-19 ke atas penghuni di Blok D, Pangsapuri Segar Ria, Taman Bukit Segar, Cheras, yang tular semalam adalah tulen.

Annuar dalam ciapan Twitter beliau turut memuat naik salinan surat dikeluarkan Pejabat Kesihatan Cheras kepada Badan Pengurusan Bersama pangsapuri terbabit yang menyatakan ada kes positif COVID-19 dalam kalangan penghuni Blok D berkenaan.

"Ada yang tanya adakah surat ini tulen, jawabnya ya, (penghuni Pangsapuri Segar Ria) pohon beri kerjasama," katanya melalui ciapan Twitter beliau.

Semalam, tular dalam media sosial, surat ditandatangani oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Cheras, Datin Dr Noriah Hajib, memaklumkan kepada penghuni terbabit bahawa aktiviti kawalan dan pensampelan COVID-19 akan dijalankan berikutan kes positif yang dilaporkan itu.

Pada sidang media harian COVID-19, hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata satu kluster baharu dikesan di sebuah pangsapuri di Cheras dengan enam kes dikenal pasti, setakat ini, iaitu tiga membabitkan penghuni dan tiga lagi dari luar kawasan pangsapuri itu.

Dr Noor Hisham berkata, punca sebenar penularan kluster itu masih disiasat dan beliau tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan ketika Aidilfitri. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X