X
Rabu, 3 Jun 2020 | 2:38pm

PKPB: 267,373 kenderaan lakukan perjalanan rentas negeri semalam

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 267,373 kenderaan melakukan perjalanan rentas negeri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 283,677 kenderaan, kelmarin.

Sambil memaklumkan PDRM menjalankan 138 sekatan jalan raya di kawasan sempadan negeri, beliau berkata, 93 kenderaan terbabit diarah berpatah balik kerana tidak memiliki kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri.

"Antara negeri mencatat cubaan rentas negeri tertinggi ialah Pahang membabitkan 38 kes, disusuli Melaka (27) dan Selangor (24).

"Seramai 46 daripada 56 orang yang ditahan atas kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga sudah direman dan bakinya diberi jaminan polis, semalam.

"PDRM turut mengeluarkan kompaun terhadap 88 individu atas pelbagai kesalahan mengingkari arahan PKPB.

"Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri," katanya pada sidang media harian PKPB, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • (Gambar fail - hiasan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 267,373 kenderaan melakukan perjalanan rentas negeri, semalam. - FOTO BERNAMA
    (Gambar fail - hiasan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 267,373 kenderaan melakukan perjalanan rentas negeri, semalam. - FOTO BERNAMA
    Berita Harian X