Rabu, 3 Jun 2020 | 2:57pm

COVID-19: Kru produksi filem, drama tidak perlu saringan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan kru produksi yang menyertai penggambaran drama dan filem tidak perlu menjalani ujian saringan kesihatan COVID-19 sebelum memulakan projek berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sekiranya ada dalam kalangan mereka atau ada kes disyaki positif COVID-19 dikesan di lokasi pengambaran, barulah semua yang terbabit wajib melakukan saringan.

"Seperti kita sebut, ujian saringan ini dilakukan apabila terdapat kes COVID-19. Sebagai contoh di penjara, apabila kita kesan berlaku positif jangkitan, saringan terpaksa dilakukan ke atas semua 600 penghuni.

"Jadi apabila ada kes (positif COVID-19) ketika pengambaran dilakukan, ujian wajib dilakukan kerana kita tidak mahu kluster pengambaran pula timbul," katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau menjelaskan, setiap produksi pengambaran perlu melantik penyelia keselamatan untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) di lokasi.

Mengenai proses dandanan, Ismail Sabri berkata, setiap jurumekap atau jurudandan perlu memakai pelindung muka dan sarung tangan untuk memulakan tugas.

"Malah peralatan juga tidak dibenarkan dikongsi, iaitu setiap alat yang digunakan adalah khusus untuk seorang individu sahaja," katanya.

Pada 20 Mei lalu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan pengiklanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula selepas Aidilfitri dengan mematuhi SOP ketat.

Antara SOP ditetapkan termasuklah penggambaran tidak boleh membabitkan babak yang menyaksikan berlakunya sentuhan fizikal antara pelakon kerana ia melanggar pematuhan penjarakan sosial.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Gambar hiasan.
    Gambar hiasan.
    Berita Harian X