X
Khamis, 4 Jun 2020 | 11:37pm

Empat ahli MPT BERSATU tinggalkan mesyuarat

KUALA LUMPUR: Empat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat meninggalkan mesyuarat tertinggi parti itu, sebentar tadi.

Mereka adalah Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Abu Bakar Yahya dan tiga anggota penaja parti itu, Tariq Ismail Mustafa; Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi dan Ulya Aqamah Husamuddin.

Abu Bakar ditemui media menyatakan tindakan mereka keluar daripada mesyuarat itu kerana dikatakan tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat yang didakwa tidak mengikut perlembagaan parti.

Katanya, dua perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu iaitu mengenai pengguguran Dr Mahathir bersama lima lagi pemimpin parti dan penyertaan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

"Dalam kedudukan parti kini, ahli MPT sedia ada hanya 'care taker' parti. Jadi sebarang keputusan di buat untuk dua perkara terbabit dikira tidak sah," katanya.

Sementara itu, Ulya Aqamah menyatakan adalah satu yang pelik kerana keputusan penting mengenai hala tuju dan nasib parti ditentukan melalui mesyuarat MPT bukannya melalui Perhimpunan Agung parti.

"Sepatutnya jika tidak dapat mengadakan Perhimpunan Agung pun masih boleh dipanggil persidangan tergempar untuk menentukan sama ada BERSATU boleh menyertai PN atau sebaliknya.

"Caranya tidak betul apabila nasib parti diletakkan di atas tangan 35 ahli MPT saja," katanya.

Berita Harian X