Jumaat, 5 Jun 2020 | 11:39am
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

MPT iktiraf Muhyiddin pemangku Pengerusi BERSATU yang sah

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), malam tadi membuat keputusan mengiktiraf Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi parti yang sah.

Keputusan MPT itu sekali gus menamatkan polemik yang timbul berhubung kedudukan jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari lalu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keputusan MPT itu dibuat mengikut Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU.

Fasal berkenaan menyatakan, keputusan itu diluluskan berdasarkan cukup bilangan ahli mesyuarat iaitu setengah daripada jumlah ahli MPT.

Hamzah berkata, MPT turut menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepemimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas dilantik Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara.

Katanya, penyertaan BERSATU dalam gabungan parti politik baharu yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga mendapat sokongan MPT kerana bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

"Mesyuarat MPT juga mengesahkan keputusan BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu.

"Pengumuman rasmi keluar PH yang dibuat Presiden selaku pemangku Pengerusi BERSATU pada 24 Februari lalu adalah sah dan teratur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesyuarat MPT BERSATU yang berlangsung malam tadi di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), dipengerusikan kali pertama oleh Muhyiddin selepas menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Hamzah berkata, MPT turut mengesahkan keahlian Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen sebagai anggota parti, terhenti serta merta berdasarkan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan BERSATU.

Empat Ahli Parlimen itu adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Beliau turut berkata, MPT juga mengesahkan keputusan menamatkan jawatan Datuk Marzuki Yahya sebagai Setiausaha Agung bertarikh 18 Mac dan digantikan dengan dirinya pada 26 Mac lalu adalah sah mengikut perlembagaan parti.

"Dengan pengesahan dan ketetapan diambil dalam mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Berita Harian X