Sabtu, 6 Jun 2020 | 2:39pm

Pasar terbuka, malam antara dibenar beroperasi semula

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembukaan semula pasar terbabit tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"SOP ini termasuk waktu pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan pasar terbuka bermula 6 pagi hingga 11 pagi; pasar malam (4 petang - 10 malam) dan bazaria (5 petang - 11 malam).

"Jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan antara 1.5 hingga 2 meter dan lokasi kawasan perlu terbuka serta berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, operasi pasar terbabit hanya dibenarkan secara 'take away' (bungkus dan bawa pulang), manakala peniaga perlu memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan dan topeng muka.

Katanya, peniaga makanan yang dibenarkan beroperasi juga tidak dibenarkan menyediakan meja makan.

"Peniaga boleh melihat SOP yang dikeluarkan ini di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun SOP terbabit dikeluarkan DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan, ia boleh diguna pakai oleh peniaga sama di seluruh negara.

"Kita juga membenarkan (operasi pasar pagi dan pasar malam) di seluruh negara dengan menggunakan SOP yang sama, namun dengan penyesuaian tertentu berdasarkan pihak berkuasa tempatan masing-masing.

"Peniaga dan pengunjung juga diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
    Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X