Sabtu, 6 Jun 2020 | 3:31pm
Caj pemotongan dan dandanan rambut akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan. - Foto hiasan
Caj pemotongan dan dandanan rambut akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan. - Foto hiasan

Caj tambahan gunting, dandanan rambut hingga RM10

KUALA LUMPUR: Caj pemotongan dan dandanan rambut akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan.

Ia berikutan peningkatan kos operasi untuk menyediakan peralatan diperlukan operator kedai gunting atau salun dandanan rambut bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto, berkata perkara itu dipersetujui tujuh persatuan gunting rambut yang menyertai gabungan berkenaan.

Tujuh persatuan itu adalah Persatuan Pendandan Malaysian (MHA); Persatuan Pendandan Bumiputera (BUHA); Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera (MBBA); Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rabut (HSDA); Persatuan Pemerkasaan JurugayaRambut India Malaysia (MIHASS); Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS) dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan (PJRISWP).

Beliau berkata, pengumuman membenarkan sektor itu kembali beroperasi sentiasa dinantikan pelbagai pihak, selain menegaskan lebih banyak kelonggaran diberi berbanding SOP asal dinyatakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Kenaikan ini adalah minimum, selain operator atau pemilik perlu mengambil kira kapasiti pelanggan akan berkurang susulan pelaksanaan SOP ditetapkan kerajaan.

"Kenaikan caj ini juga mengambil kira keadaan semasa dan pelanggan. Sekarang ini bukan masa untuk kita mengaut keuntungan, sebaliknya memberi tumpuan untuk kembali beroperasi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan membenarkan kedai gunting dan dandanan rambut beroperasi semula dengan SOP ketat, mulai 10 Jun ini.

Aktiviti dibenarkan termasuk gunting dan cuci rambut asas; solekan dan rawatan rambut; cukur jambang dan misai; manikur dan pedikur serta cuci dan rawatan muka.

Golongan berisiko iaitu individu berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan diwajibkan secara temu janji dan tanpa kehadiran lain-lain pengunjung daripada kumpulan umur lain, manakala ibu bapa dibenarkan hadir bersama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

SOP perlu dipatuhi termasuk pekerja perlu memakai pelitup separuh muka; set sarung tangan dan apron pakai buang serta tidak boleh berkongsi tuala bagi setiap pelanggan, selain jarak antara kerusi tukang gunting perlulah sekurang-kurangnya dua meter.

Sementara itu, Presiden MBBA, Winda Mohd Tahir, menggesa supaya semua pengusaha kedai gunting dan dandanan rambut mempamerkan senarai harga baharu bagi memudahkan pelanggan.

"Kita juga memberi jaminan untuk mematuhi setiap SOP ditetapkan kerajaan bagi operasi kedai gunting dan dandanan rambut, selain pelanggan juga perlu mengambil kira perkara ini sebelum berkunjung ke premis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Saya faham ramai teruja untuk potong rambut masing-masing, selain yakin kita mampu membanteras penularan COVID-19 jika semua pihak memberi kerjasama dan mematuhi setiap SOP ditetapkan," katanya.

Info caj gunting rambut sebelum PKP:

(Kedai gunting rambut)

* Standard - RM12 hingga RM15

* Gaya hipster/trend - RM20 hingga RM25

(Salun dandanan rambut bagi kelas pertengahan di Lembah Klang)

* Cuci dan potong - RM40 hingga RM50 (lelaki) / RM60 hingga RM80 (wanita)

Berita Harian X