Ahad, 7 Jun 2020 | 4:01pm

234 sekolah menengah di Johor sedia dibuka

JOHOR BAHRU: Sebanyak 234 sekolah menengah termasuk asrama penuh dan sekolah teknik di negeri ini sudah bersedia untuk dibuka kepada pelajar meneruskan sesi persekolahan mereka.

Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari, berkata semua 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengetua serta guru besar di 1,187 sekolah di negeri ini juga sudah selesai diberikan taklimat khas Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, minggu lalu.

Katanya, taklimat khas itu bagi membolehkan pengetua dan 234 sekolah menengah yang akan dibuka nanti bersedia sepenuhnya dalam mematuhi garis panduan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sekolah masing-masing.

"Seramai 49,245 pelajar Tingkatan Lima dan 4,852 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini dijangkakan akan kembali ke sekolah sebaik tarikh pembukaan sekolah diumumkan kerajaan.

"Antara elemen penting dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang ditekankan apabila sekolah dibuka nanti adalah penyediaan tempat membasuh tangan lebih banyak di setiap sudut sekolah.

"Setiap kelas hanya boleh memuatkan antara 18 hingga 22 pelajar sahaja selain pelajar tidak dibenarkan makan di kantin.

"Saya berpuas hati dengan persediaan sekolah hasil tinjauan di beberapa sekolah, termasuk Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), hari ini. MSAB contohnya, sudah menyediakan singki serta tempat membasuh tangan di setiap blok dan sudut sekolah mereka selain memastikan meja pelajar diletakkan dengan jarak lebih satu meter antara satu dengan lain.

"Sekolah juga sudah diarahkan berbincang dengan pengusaha kantin bagi membolehkan kaedah terbaik bagi membolehkan pelajar makan di kelas masing-masing mengikut garis panduan yang dikeluarkan," katanya selepas meninjau persiapan MSAB membuka sekolah berkenaan.

Yang turut hadir, Pengetua MSAB, Mohd Hanafi Samad.

Sementara itu, Mohd Hanafi berkata, sebanyak lima singki membasuh tangan baharu dilengkapi cecair pembersih sudah dipasang di setiap blok sekolah berkenaan bagi memudahkan pelajar dan guru mencuci tangan, sekurang-kurangnya tiga kali sehari sepanjang mereka berada di sekolah.

"Selain itu, kita juga sudah memasang pita pelekat termasuk peringatan penjarakan sosial lebih satu meter di lantai bagi semua laluan di sekolah terutama di hadapan kelas selain meletakkan pasu bunga di tengah laluan sebagai penanda laluan sehala keluar masuk terutama di hadapan pejabat dan bilik guru.

"Kita juga sudah berbincang dengan pengusaha kantin sekolah untuk membuat sistem tempahan makanan bagi membolehkan pelajar memesan makanan sebelum ia dihantar ke kelas masing-masing.

"Menerusi sistem tempahan ini, pelajar akan diminta membuat pesanan makaman lebih awal sama ada sebelum sekolah berakhir atau setiap pagi ketika mereka tiba setiap hari, bagi membolehkan pihak kantin dibantu guru menghantar makanan kepada pelajar di kelas, " katanya.

Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari (tengah) dan Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Mohd Hanafi Samad (dua dari kanan) memantau kerja mengukur jarak meja pelajar ketika meninjau persediaan pembukaan sekolah di sekolah berkenaan- Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari (tengah) dan Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Mohd Hanafi Samad (dua dari kanan) memantau kerja mengukur jarak meja pelajar ketika meninjau persediaan pembukaan sekolah di sekolah berkenaan- Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X